Perkongsian info sawit

Baja kelapa sawit – baja kimia

Salam,

Secara amnya baja kimia terbahagi kepada dua sumber utama.  Baja yang diperolehi daripada sumber semulajadi iaitu melalui perlombongan dan juga baja sintetik iaitu baja buatan di kilang. Baja-baja ini kemudiannya dibahagikan kepada  3 jenis utama iaitu:-

Baja tunggal .

Baja yang mengandungi satu atau dua zat makanan perlu sahaja.  Baja ini adalah tidak lengkap kerana tidak terdapat zat-zat makanan perlu yang lain contohnya baja lurus jenis Muriate Of Potash (MOP), baja ini  hanya mengandungi zat makanan 60%K2O atau Kalium sahaja, manakala  Rock Phosphate pula mengandungi 29% P2O5 atau Phosphate dan Kalsium sahaja.  Kebiasaannya 4-5 jenis baja lurus diperlukan bagi melengkapkan keperluan pemakanan kelapa sawit.

Kelebihan baja tunggal ialah kandungan zat makanan yang tinggi dan harga yang lebih rendah.  Contohnya, AN mengandungi 34% N, 29% P2O5 dalam RP,  60%K2O dalam MOP dan 27% MgO dalam Kieserite berbanding hanya  12%N, 6%P2O5, 22% K2O dan 3% MgO dalam baja sebatian (12:6:22:3).

Kelemahannya pula ialah keperluan bagi kekerapan aplikasi baja yang tinggi dan potensi segregasi dan antagonistik yang boleh berlaku apabila selang hari aplikasi untuk  baja MOP dan Kieserite terlalu singkat atau kurang daripada 2 minggu.  Hal ini akan meningkatkan risiko kehilangan baja kerana akar  hanya akan mengambil satu zat makanan sahaja, kebiasaanya hanya zat makanan Kalium dan meninggalkan zat makanan Magnesium  yang kemudiannya akan hilang melalui larut resap.  Segregasi pula boleh berlaku apabila baja berasid seperti Ammonium Nitrate diaplikasikan bersama baja beralkali seperti Rock Phosphate.

Baja jenis ini tidak popular dikalangan pekebun kecil kerana aplikasinya agak cerewet dan memerlukan pengetahuan agronomi untuk memprogramkan kadar rekomendasi yang sesuai dan seimbang dengan keperluan pokok kelapa sawit.

Lain pula dengan syarikat perladangan besar, baja tunggal adalah biasa digunakan diladang-ladang mereka.  Ini adalah kerana harganya yang lebih murah dan kandungan zat makanan yang tinggi.   Tambahan pula syarikat perladangan besar kebiasaanya mempunyai jabatan atau unit agronominya sendiri yang boleh membuat rekomendasi baja yang lebih tepat dan seimbang.

Baja campuran.

Baja campuran adalah baja yang dicampur diantara 2 atau lebih baja tunggal.  Proses percampuran baja adalah hanya melibatkan percampuran secara terus atau secara fizikal tanpa melibatkan proses pemanasan dan kimia.  Proses campuran adalah berdasarkan nisbah-nisbah tertentu dan boleh dilakukan secara skala kecil dengan menggunakan cangkul atau mesin campur simen atau juga secara berskala besar di kilang-kilang baja.  Walaubagaimanapun  tidak semua jenis baja tunggal boleh dicampurkan diantara satu sama lain kerana tidak sesuai disebabkan ciri-ciri antoginistik dan segregasi sebagaimana yang telah diterangkan diatas.

Kelebihan baja ini adalah menjimatkan masa aplikasi kerana 2 atau lebih jenis baja tunggal dapat diaplikasikan serentak.  Baja ini juga adalah lebih murah berbanding baja sebatian akan tetapi lebih mahal berbanding baja tunggal.

Kelemahannya ialah tidak semua baja tunggal boleh dicampur dan zat makanan dalam baja campuran terdedah kepada risiko ketidakseragaman dan luar daripada spesifikasi peratusan zat makanan.  Contohnya, dalam satu beg baja campuran dengan spesifikasi nisbah 30%MOP dan 17%AN mempunyai potensi yang tinggi untuk mempunyai kadar nisbah yang berlainan seperti 25%MOP dan 20%AN.  Implikasi luar spesifikasi akan mempengaruhi ketepatan kadar baja yang telah direkomendasikan yang berdasarkan kepada spesifikasi yang diberikan oleh pihak pengilang.

Baja sebatian.

Baja sebatian adalah sejenis baja campuran yang melalui proses campuran fizikal, kimia, pemanasan, penyejukan dan pengranularan.

Kelebihan baja sebatian ialah mudah digunakan.  Baja jenis ini dapat membekalkan zat-zat makanan yang hampir lengkap kepada pokok kelapa sawit.  Baja sebatian yang popular adalah dari jenis sebatian 44.  Kadungan zat makanan adalah hampir lengkap iaitu (12%N):(6%P2O5):(22%K2O)(3%MgO)

Kelemahannya pula ialah harganya lebih mahal berbanding baja lurus dan campuran.  Zat makanan nitrogen pula terdedah kepada risiko pemeluapan (kehilangan N ke udara) lebih-lebih lagi bila baja ditabur pada musim panas.  Ini adalah kerana kebanyakkan baja sebatian menggunakan Urea sebagai sumber zat makanan nitrogen didalam baja sebatian mereka.

Ada sesetangah baja sebatian yang tidak berkualiti.  Harga baja sebatian yang tidak berkualiti agak murah sedikit, namun risiko kehilangan zat makanan adalah tinggi dengan menggunakan baja-baja yang murah.  Risiko yang pertama ialah peratusan zat unsur makanan kurang daripada apa yang dinyatakan atau tidak memenuhi spesifikasi.

Keduanya, menggunakan granular yang tidak berkualiti.  Kebiasaannya, granular yang tidak berkualiti akan lambat larut selepas ditabur.  Kadangkala, granular tersebut masih kelihatan diatas tanah walaupun setelah 3 bulan ditabur.  Keadaan ini boleh meningkatkan kehilangan zat makanan melalui air larian apabila hujan lebat.

Sememangnya diakui sebahagian zat makanan telah dilepaskan daripada granularnya.  Namun persoalan yang timbul ialah berapa peratus yang telah dilepaskan dan berapa lama masa yang perlu diambil untuk 100% zat makanan dilepaskan? Sekiranya, ia mengambil masa sehingga 2-3 bulan, maka risiko untuk hujan lebat dalam jangkamasa ini adalah tinggi yang juga akan membasuh kesemua granular-granular bersama dengan zat makanan yang masih berbaki.

Pada pandangan saya adalah lebih baik kita mencuba beberapa jenis baja dahulu dengan kadar yang sedikit dan lihat keberkesanannya.  Ekperimen mudah ialah dengan menabur baja-baja sebatian didalm polibeg nurseri dan disiram setiap hari.    Bagi menjimatkan masa, beli beberapa jenis baja sebatian dalam bungkusan kecil dan jalankan ekperimen anda secara serentak.

Bagi mendapatkan keputusan yang agak tepat, anda boleh menyediakan replikasi iaitu satu jenis baja sebatian ditaburkan kepada sekurang-kurangnya 5 polibeg.  Sekiranya anda ingin menguji 3 jenis baja sebatian, maka anda perlukan 15 polibeg yang mana setiap satu jenis baja akan ditaburkan kepada 5 polibeg.

Lihat berapa lama masa yang diperlukan untuk granular larut.  Bandingkan ketiga-tiga jenis baja sebatian yang telah diuji.  Pilih baja yang menunjukkan kadar perlarutan yang paling cepat.  Mungkin aka nada polibeg yang lambat larut untuk satu-satu jenis baja sebatian.  Untuk ini, anda perlu ambil purata bagi setiap polibeg yang menunjukkan kadar larutan yang cepat.  Bandingkan purata bagi setiap jenis baja sebatian tersebut dan pilih purata yang terbanyak.

Walaubagaimanapun, jalan yang terbaik ialah pilih baja sebatian yang berjenama sperti CCM, YaraMilla, FPM, MPOB F1 dan Benh Mayer.  Walaupun harganya agak mahal sedikit namun kualitinya agak terjamin.

Pembajaan adalah satu pelaburan yang menjamin kelangsungan hasil ladang anda.

Selain daripada itu terdapat 2 jenis baja lagi iaitu :-

  1. Baja perlepasan perlahan
  2. Baja perlepasan kawalan.

Saya akan membincangkan 2 jenis baja ini dalam entri yang akan datang.

Untuk artikel baja organik sila klik sini.

Sekian.

Reading material
Share and Enjoy:
  • Facebook
  • Google
  • MySpace
  • Technorati
  • TwitThis
  • StumbleUpon
  • Live
  • Ping.fm
  • Yahoo! Buzz
banner ad

23 Responses to “Baja kelapa sawit – baja kimia”

  1. Nurul Izzahanna says:

    apakah langkah-langkah alternatif untuk mengurangkan penggunaan baja kimia?

  2. azahari says:

    salam,sdr adaem baja apa yg perlu utk sawit 13 thn yg x berbuah dan berdaun kekuningan….apa kah punca masalah ini dan bagaimana utk mengatasinya..terima kasih

  3. Kliwon Fajar says:

    Why not somebody who knows how to make it simple and more comprehensible to ordinary orang kampong like me in relation to the type of fertilizer to be used according to the stages of growth of the pokok sawit that cold be easily puchased in the open market than giving scientific details which are meaningless to us.Terima kasih

    • Adaem says:

      in this blog you can refer to the post titled kadar baja yang disyorkan. The recommendation was simple and easy to follow according to the palm age.

      The scintifically aaproach of fertilizer is for precision agriculture. Thanks

  4. Apakah fungsi bahan2 yg saya nyatakan tadi ya?

    • adaem says:

      Pada saya membekalkan nutreint makro secara suntikan adalah tidak ekonomik dan efektif. Nutrient seperti Nitrogen, Phosporus, Magnesium adalah nutreint yang diperlukan oleh sawit dengan kuantiti yang agak banyak. contohnya N dengan kadar 0.6-1kg/pokok, Mg dengan kadar 0.3-0.6kg/pokok. Saya tidak rasa satu suntikan boleh memadai untuk membekalkan kesemua nutrient.

      Namun sekiranya suntikan untuk membekalkan nutrint mikro seperti zink, copper mungkin ok.

      • adaem says:

        Untuk fungsi nutreints (kecuali silikon yang tidak diperlukan sangat oleh kelapa sawit) anda boleh rujuk artikel saya sebelum ini atai klik sini http://sawitbiz.com/zat-zat-makanan-kelapa-sawit-yang-perlu/

        • Halim says:

          Salam Mr Adaem

          Just sharing, found silica in the
          in Oil Palm Empty Fruit Bunches. Please google using “Silica in Oil Palm Empty Fruit Bunches”, try to look a research from USM by ARNIZA GHAZALI, SITI SALMI GHAZALI, MOHD HAFIZ RIDZUAN1, WANROSLI WAN DAUD, a lot of silica found at the bunches.

          Agree that silica is not important nutrient to palm, tapi with silica pokok grow better and proven that silica could reduce stress and pest attack.

          Thank you

    • adaem says:

      Untuk fungsi bahan (kecuali silikon yang tidak diperlukan sangat oleh kelapa sawit) anda boleh rujuk artikel saya sebelum ini atai klik sini http://sawitbiz.com/zat-zat-makanan-kelapa-sawit-yang-perlu/

  5. As salam

    Apa pandangan tuan ttg baja organic yang disuntik terus kebatang pokok sawit ?
    Dlm Lab report yang saya baca, mengandungi Nitrogen,Hosphorus,Calsium,Magnesiun,Sulphur,Boron,Silicon.

  6. ryuzaki says:

    apa kesan buruk penggunaan baja kimia terhadap eko sistem darat

    • Adaem says:

      Pada saya, penggunaan baja kimia tidak ada kesan yang ketara terhadap eko sistem darat. Mungkin ada sedikit kesan dengan penggunaan baja Urea. Baja lain seperti MOP, RP dan kieserite adalah baja yang diperolehi daripada secara semulajadi, bukan sintetik.

  7. musa ibrahim says:

    bagaimana nk pulihkan tanah sawit selepas banjir

    • Adaem says:

      Tanah sawit yang mengalami masaalah banjir tidak perlu dipulihkan. Akan tetapi pokok kelapa sawit yang tenggelam akibat banjir perlu di rawat namun ia bergantung kepada jangkamasa tenggelam. Sekiranya melebihi sebulan, keberangkalian untuk kelapa sawit yang muda untuk mati adalah tinggi. Untuk mengelakkan kerugian dengan merawat pokok yang akan mati, anda bolehlah pangkas semua pelepah yang tenggelam dan biarkan pucuk baru menumbuh. Anggarannya lebihkurang sebulan selepas air surut. Selepas pucuk baru tumbuh dan pasti pokok tersebut hidup, barulah diletakkan baja RP sebanyak 1.5 kg/pokok dan diikuti dengan baja nitrogen seperti 1kg/pokok AN atau 1.5 kg/pokok AS, dan diikuti baja sebatian yang mudah larut seperti yaramila palmae dengan akdar 1.5kg/pokok.

      Sekiranya pucuk busuk, anda boleh letakkan racun kulat seperti thiram lebih kurang 10gm/pokok. Semburkan racun dari atas pucuk, biarkan larutan racun meleleh melalui pucuk dan memasuki ruangan meristematik apek. kemudian tunggu sehingga pucuk baru tumbuh, barulah buat rawatan sebagaimana diatas.

  8. ketengah jaya says:

    berapakah harga baja yara mila,dan dari mana saya boleh dapatkanye kalu di sebelah pantai timur semenanjung?

  9. sharl de piepiapie says:

    apa kebaikan baja bukan organik?

  10. apa beza baja-baja biassa dengan baja berasaskan silikon.

    adakah tindakbalas kimia jika dicampurkan secara fizikal.

  11. Anak Peneroka says:

    Assalamualaikum w.b.t

    Tuan

    Apa pandangan tuan penggunaan baja gununung berapi dalam perladangan kelapa sawit?

    • Halim says:

      Salam Tuan Anak Peneroka

      Maafkan saya mencelah.
      Menggunakan baja gunung berapi ni mitos, indah khabar dari rupa. Yang jual pun sebenarnya tak tau apa2 pasal benda ni. Just pakai, kena pulak pokok sawit yang dia apply tu di fasa 1, antara 5-10 tahun -memanglah buah mencanak2.Siap inform yang dalam baja gunung berapi di ada NPK yang tinggi sampai 15-15-15 .yang melampau lagi siap kata pakai baja ni SAHAJA untuk setahun dapat hasil berkali ganda? Jual dah lah mahal, dah dekat sama dengan harga baja NPK. Masalahnya market diorang ni orang melayu je.

      U tanya diorang yang jual baja gunung berapi tu, mesti dia kata ni lava gunung berapi, kena buat pembetulan- lava gunung berapi mengandungi sulfur, Ferum yang tinggi.Siap suruh test purity pakai air suam -ingatkan nak buat air teh ke apa. Setahu saya turbidity test ni untuk air kolam bolehlah tapi kena pakai secci disk, baru tau. Banyak diorang spoilkan market.Claim bukan2, melampau sangat.

      Yang betulnya, adalah zeolite -terbentuk dari abu gunung berapi yang berinteraksi dengan air yang mempunyai salinity yang tidak terlalu tinggi. Di Malaysia banyak diimport dari Indonesia. Zeolite ini banyak jenis, cth dari Indonesia seperti Modernite,chabazite dan clinoptilolite.

      terbaik adalah clinoptilolite compare dengan modernite. bezanya dapat ditentukan kalau kita buat x-ray diffraction. ruang molekul clinoptilolite lebih besar dari modernite. Bermaksud clinoptilolite dapat “hold” and has higher CEC than modernite. clinoptilolite kalau u buat analisa macro and micro memang ada banyak -approximately more 11 elements. Kandungan N tak banyak sangat around 1.5-2%, P- 0.3%-1.0% and K around 0.3-2%- ikut lokasi mining, paling banyak silica. tapi silica dalam bentuk insoluble silica yang tak dapat diserap terus oleh pokok. Penguraian dalam tanah perlu dibuat oleh bakteria dan ia mengambil masa yang lama.Kalau pakai zeolite SAHAJA untuk rumput dan pokok bunga bolehlah tapi dalam sawit kena increase NPK, Mg, Boron dia.

      MPOB F4 ada pakai materials zeolite ini approximately 10% dari baja diorang,untuk binder kepada ammonium ion dan baja2 lain supaya tak berlaku leaching, evaporation. Tapi zeolite ini perlu dipanaskan more than 80 degree celcius before mix dengan unsur2 lain.
      Felcra ada buat suggestion using zeolite untuk improve CEC dalam buku recomendation “kajian kesesuaian tanah 2011 “,
      Persoalan nya -zeolite mana yang diorang pakai.

      Kalau u nak tau, penangan zeolite ni tahun 1991 – UPM pun kena, ada sorang student tu buat master pasal zeolite ni, dah dekat setahun setengah research berjalan baru find out yang zeolite diorang pakai ni rupanya tak pure lepas buat x-ray diffraction. So, just imagine, kalau UPM pun susah nak differenciate apatah lagi orang lain.

      My conclusion, baja gunung berapi ni boleh pakai, tapi nama tu tak sesuai.Cam ganas sgt. Tapi sebelum pakai, make sure u tau apa sebenarnya materials ni, dossage sesuai, how to apply and etc. Setakat penerangan dari jurujual tu mmg sedap didengar tapi yang pelik bila tanya lebih2 pasal tanah, nutrients keperluan asas pokok, sistem yang berlaku dalam pokok, cara penyerapan nutrient -tak tahu pulak.

      Salam, sekadar renungan

  12. I admire your piece of work, thanks for all the useful blog posts.

  13. gratiswetten
    Hey, can I use your post on my blog with a linkback?

  14. Pencinta Sawit says:

    Satu artikel yang baik dan bagus. Teruskan memberikan info sebegini. Bagaimana dengan baja tunggal? Adakah ia sama dengan baja lurus?

Leave a Reply

Powered by Wordpress | Sawitbiz Sawitbiz